.jpg)
Dua Remaja Lemas Mandi Di Tali Air
AYER KEROH, 16 Mei – Laungan azan Maghrib yang berkumandang membantu anggota bomba dan penyelamat menemui dua remaja lemas selepas 45 minit usaha mencari dijalankan di sebatang tali air berhampiran Taman Ayer Keroh Heights, petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Farid Hamshal Rosli dan Mohamad Iqbal Hafiz Norzihan, kedua-duanya berusia 15 tahun, merupakan murid Sekolah Menengah Taman Tasik Utama, di sini.
Mangsa bersama dua orang lagi rakan sebaya mereka, Mohamad Abu Bakar dan Mohamad Firdaus Majis, dikatakan datang ke kawasan terbabit untuk mandi apabila Mohd Farid Hamshal dipercayai menghadapi kesukaran dalam kejadian kira-kira jam 6 petang.
Melihat keadaan itu, Mohd Iqbal Hafiz cuba membantu namun beliau turut menghadapi kesukaran kemudian lemas.
Menurut Penolong Penguasa Bomba Negeri, Baharum Mohd Hashim, pihak bomba menerima panggilan dari polis pada 6.13 petang dan tiba di tempat kejadian jam 6.19 petang.
“Dua anggota menggunakan kaedah ‘space’ atau permukaan dengan tali untuk mencari mangsa,” katanya, sambil menambah sebuah jentera dengan 12 anggota terbabit dalam operasi berkenaan.
Mangsa pertama, Mohd Farid Hamshal berjaya ditemui kira-kira jam 7.05 malam manakala mayat Mohd Iqbal Hafiz ditemui 10 minit kemudian.
Mayat mereka kemudian dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat.
Sementara itu, saksi, Abdul Mutalib Latip, 24, yang terdengar jeritan dua rakan mangsa terus ke tempat kejadian bersama seorang rakan.
“Setibanya di tempat kejadian, saya memandang ke arah parit dan melihat dua remaja lelaki sedang duduk termenung sambil memandang ke dalam parit.
“Apabila ditanya mereka memberitahu dua rakan telah lemas dan saya terus ke balai polis Ayer Keroh untuk buat laporan sebelum kembali bersama anggota polis,” katanya yang juga jiran kepada mangsa.